Selamat Datang(ًاَهْلاً وَسَهْلا) ke mazfsk.blogspot.com

Wednesday, 18 December 2013

Kurikulum dan Falsafah

Assalamualaikum, slam ukhwah fillah. Ana akhukum fillah  

Disini saya sebagai insan dan hamba yang kerdil di muka bumi Allah ini rasa amat bersyukur pada Allah maha pencipta, ingin saya kongsikan sedikit ilmu yang saya ada bagi tatapan dan panduan mengenai kurikulum.



1.0            Pengenalan Falsafah Dan Kurikulum 

1.1       Pengenalan Falsafah, Pendidikan dan Falsafah Pendidikan

Konsep falsafah, pendidikan dan falsafah pendidikan adalah antara beberapa konsep yang kebanyakan sarjana pendidikan tidak bersepakat dalam memberi takrif yang jelas dan terperinci.  Ketiga-tiga konsep tersebut mempunyai tradisi dan ruang lingkup yang amat luas, yang tidak kurang pula dipenuhi oleh mazhab-mazhab atau aliran-aliran tertentu. Ia akan menghuraikan secara ringkas ketiga-tiga konsep tersebut dan juga perkaitan antara falsafah, pendidikan dan falsafah pendidikan dalam sesuatu sistem pendidikan.

Istilah falsafah (philosophy) berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu philies yang bererti suka atau cinta; dan sophia yang bererti kebijaksanaan atau hikmah. Oleh itu, seorang ahli falsafah atau filosof adalah seorang yang cinta kepada kebijaksanaan atau hikmah. Namun, hikmah dan pengetahuan bukanlah konsep yang sama. Pengetahuan merujuk kepada maklumat sedangkan hikmah mengandungi unsur-unsur kematangan berfikir, jauh pandangan dan memiliki basirah (insight) terhadap setiap tinjauan dan pengamatan yang dengan menggunakan pengetahuan semata-mata seseorang itu tidak mampu mencapainya.

Sifat ini jelas terpancar pada diri seorang filosof Greek tersohor, iaitu Socrates yang apabila diberitahu bahawa dia telah dianggap sebagai seorang yang paling bijaksana di Athens, dia telah menafikannya. Malah, dia dengan tegas pula mengatakan bahawa kebijaksanaannya itu adalah justeru kesedarannya sendiri tentang kejahilannya.   Dia tidak mencapai kebijaksanaan tetapi mencari kefahaman tentang isu-isu dalam kehidupan.  Kata Socrates lagi, “aku hanya seorang pencinta kebijaksanaan”. Kneller (1971) telah membincangkan tiga stail falsafah yang dikategorikan beliau sebagai berikut:
a)      Falsafah spekulatif, iatu satu cara pemikiran yang sistematik mengenai semua yang wujud sebagai satu keseluruhan. Ia juga satu proses mencari susunan dan keseluruhan yang tidak hanya tertentu kepada satu item atau pengalaman, tetapi kepada semua pengetahuan dan pengalaman. Ringkasnya, falsafah spekulatif ialah satu usaha untuk mencari  satu  kesepaduan  bagi  semua  pemikiran  dan  pengalaman. Tujuannya ialah untuk memahami semua perkara yang berbeza yang ditemui bersama dan membentuk satu keseluruhan yang bermakna.
b)      Falsafah preskriptif, iaitu stail falsafah yang cuba menetapkan standard untuk mempertimbangkan nilai, kelakuan dan menghargai seni. Ia juga mengkaji apa yang dikatakan baik dan buruk, betul dan salah, cantik dan hodoh, dan sebagainya. Selain itu, falsafah ini turut bertanyakan sama ada kualiti tersebut terdapat pada perkara itu sendiri atau hanya muncul daripada pemikiran kita sahaja. Misalnya, kepada ahli psikologi, pelbagai bentuk tingkah laku manusia dari segi moral adalah tidak pasti baik buruknya, namun kepada ahli falsafah preskriptif, ia sentiasa berusaha untuk mencari dan mengesyorkan prinsip untuk menentukan apakah tindakan dan kualiti yang berfaedah, dan kenapa ianya harus begitu.
c)      Falsafah analitik,  iaitu stail falsafah yang memberi tumpuan kepada perkataan dan makna perkataan-perkataan tersebut. Ia juga menganalisis kenyataan-kenyataan spekulatif dan preskriptif dalam usaha untuk mempertimbangkan makna-makna yang berbeza dalam konteks yang berlainan. Falsafah ini turut menunjukkan bagaimana ketidak seragaman mungkin timbul apabila makna yang sesuai dalam konteks tertentu telah dibawa dalam konteks yang berlainan. Falsafah analitik bersikap berhati-hati, skeptik dan tidak begitu cenderung untuk membina sistem-sistem pemikiran.

Dalam Hinduisme, falsafah (darsana) bererti “melihat ke dalam” dan menggunakannya untuk menyelesaikan masalah kehidupan seharian. Oleh itu, falsafah bukan sekadar untuk memperolehi pengetahuan kerana pengetahuan semata-mata atau untuk memuaskan rasa ingin tahu, tetapi untuk mengungkapkan jenis kehidupan tertinggi serta menghayatinya, iaitu kehidupan yang akan membawa keharmonian atau realisasi jiwa (nirwana). Dalam Hinduisme adalah sangat sukar untuk memisahkan antara falsafah dengan agama tersebut, justeru ada yang beranggapan bahawa Hinduisme adalah satu falsafah. Bagi seorang filosof, berusaha mencari kebijaksanaan itu adalah lebih diutamakan daripada mendapatkan kebijaksanaan itu sendiri.

Konsep pendidikan sering diberikan definisi yang pelbagai, misalnya sebagai suatu proses indokrinasi, proses latihan, proses perlanjutan atau kesimbungan budaya, proses   penitisan  sesuatu  ke  dalam  diri dan  proses  pengembangan  potensi  individu. Sebagaimana falsafah mempunyai pelbagai aliran dan mazhab, begitu jugalah pendidikan yang mempunyai pelbagai aliran dan mazhab pemikirannya. Skop pengertian pendidikan amat luas, dinamik dan culas, namum secara umumnya pendidikan boleh dihurai mengikut tiga perspektif, iaitu: Perspektif individu (psikologi), perspektif masyarakat (sosiologi) dan perspektif falsafah.

Dari sudut individu, Hasan Langgulung (1987) mentafrifkan pendidikan sebagai proses pengembangan potensi diri. Setiap individu adalah umpama permata di dasar laut yang mempunyai pelbagai potensi, kualiti dan nilai. Sebagaimana mutiara di dasar laut perlu digilap untuk mengeluarkan kilauan cahayanya, maka seseorang individu juga perlu diberikan pendidikan untuk membolehkannya mengembangkan pelbagai potensi dirinya.

            John Dewey (1961), secara analogi mengandaikan pendidikan sebagai “what nutrition and reproduction are to physiological life, education is to social life.”  Hasan Langgulung (1987) pula memperjelaskannya dengan berkata bahawa dari segi pandangan masyarakat, pendidikan bererti pewarisan kebudayaan dari generasi tua kepada generasi muda, agar hidup masyarakat tetap berlanjutan.  Malah, pendidikan bukan sahaja satu wadah di mana sesuatu kebudayaan itu dapat disalurkan, bahkan ia juga adalah wadah pembentukan sesuatu kebudayaan (Tanner dan Tanner, 1975).

            Beberapa definisi di atas telah memenuhi fungsi pendidikan dari aspek psikologi dan sosial.  Namun dari sudut falsafah, pendidikan harus dilihat daripada tiga perkara, iaitu input, proses dan output. Misalnya, Prof. Syed Mohd. Naquib Al-Attas (1980) mentakrifkan pendidikan sebagai proses penitisan ilmu ke dalam diri insan. Definisi ini menjuruskan fungsi pendidikan ke arah mewujudkan insan yang baik, iaitu insan yang melalui penguasaan ilmu, pengetahuan, nilai dan keterampilannya akan turut memajukan hati budi serta memperkembangkan prinsip akauntabiliti yang teguh lagi utuh terhadap Pencipta, alam, dan sesama manusia.

Sekiranya sesuatu masyarakat dapat melahirkan satu sistem pendidikan yang sebegini, maka ia sesungguhnya akan dapat mengubah, memaju, mengembang, dan seterusnya menyempurnakan manusia, masyarakat, negara, dan bangsanya.  Ternyata konsep pendidikan dilihat dari sudut ini, adalah sebagai satu proses “pengalamian” (unlearnt and relearnt),  serta ianya harus boleh mewujudkan suatu paksi dan landasan pemikiran, pemahaman, serta tindakan yang benar dalam jiwa insan yang menjadi penampung kepada pendidikan.  Justeru, ibarat anyaman dalam tenunan masyarakat, pendidikan dalam wadah yang sebegini dapat pula menyatupadukan anggotanya.

Falsafah pendidikan pula biasanya merujuk kepada tulisan-tulisan tentang teori dan amalan pendidikan merangkumi watak (nature), matlamat (aims) dan kaedah (methods) serta dapat pula menjelaskan betapa eratnya hubungan antara falsafah dan teori pendidikan (O’Conner, 1957). Untuk memudahkan kefahaman, O’Conner telah mengenal pasti ruang lingkup falsafah dan pendidikan berpandukan penekanan-penekanan berikut, iaitu  berdasarkan pengertian “falsafah dan pendidikan”, berdasarkan pengeritan “falsafah dalam pendidikan”, dan berdasarkan pengertian “falsafah untuk pendidikan”. 

Pendekatan “falsafah untuk pendidikan” adalah paling sesuai dan relevan kerana pendekatan ini menganggap bahawa konsep-konsep, andaian-andaian, kaedah dan pendekatan daripada bidang falsafah itu boleh dan patut diterapkan ke dalam pendidikan, tetapi dengan maksud falsafah diperalatkan untuk kepentingan pendidikan dan permasalahannya. John S. Brubacher (1962) menyatakan bahawa falsafah pendidikan merangkumi lima kegiatan utama iaitu pengesahan dan pensahihan dapatan umum mengenai nilai baik dalam pendidikan, mewujud dan mengukuhkan sudut pandangan yang bernas mengenai fenomena pendidikan, melahirkan dimensi spekulatif untuk pendidik dan pendidikan, memberikan garis panduan yang normatif kepada pendidik dan pendidikan dan melahirkan daya kritikal dalam bidang pendidikan.

Dalam konteks hubungan antara falsafah umum dan falsafah pendidikan, Hasan Langgulung (1987) menjelaskan fungsi falsafah pendidikan sebagai:
a)       Penerapan kaedah dan pandangan falsafah dalam pendidikan, merangkumi mencari konsep-konsep yang dapat menyelaraskan gejala yang berbeza kepada suatu rencana menyeluruh, menjelaskan istilah-istilah pendidikan, mengajukan prinsip atau andaian dasar tempat tegaknya pendidikan dan menyingkapkan klasifikasi yang menghubungkan pendidikan dengan bidang-bidang keprihatinan manusia.
b)      Aktiviti teratur yang menjadikan falsafah sebagai medianya untuk menyusun proses pendidikan, menyelaras dan mengharmoniskannya serta menerangkan nilai-nilai dan tujuan yang ingin dicapai. Ringkasnya, ia menyatukan tiga elemen: falsafah, pendidikan dan pengalaman manusia sebagai satu kesatuan yang utuh.
c)       Satu aktiviti praktikal oleh para pendidik dan filosof untuk menjelaskan proses pendidikan, menyelaraskan, mengkritik dan merubahnya berdasarkan kepada masalah dan pertentangan budaya.
d)      Teori dan ideologi pendidikan yang muncul daripada sikap falsafah seorang pendidik, pengalaman dan kajian-kajiannya tentang pendidikan.

            A. F. Bonifacio (1980) mentakrifkan falsafah pendidikan sebagai usaha-usaha untuk mengkaji dan menganalisis secara objektif kepercayaan-kepercayaan kita sendiri terhadap pendidikan. Manakala F. V. Carino (1980) pula mengatakan bahawa falsafah pendidikan adalah penerapan kaedah-kaedah falsafah ke atas kajian dan pemahaman tentang masalah dan isu-isu berhubung dengan atau pun yang terbit daripada pendidikan.  Ianya melibatkan bukan sahaja analisis ke atas konsep-konsep pendidikan, tetapi mungkin yang lebih penting lagi ialah pembentukan idea-idea intipati, konsep-konsep dan kaedah-kadeah yang dapat membantu usaha-usaha pendidikan dalam penujuannya ke arah masa hadapan.

Pendapat yang terakhir dikemukakan dalam bab ini ialah oleh Al-Syaibany (1979) yang  menyatakan bahawa falsafah pendidikan ialah pelaksanaan pandangan falsafah dan kaedah falsafah dalam bidang pengalaman kemanusiaan yang disebut sebagai pendidikan. Oleh itu, pada pendapat beliau, ia boleh menjelaskan beberapa kegunaan dan kepentingannya seperti menolong perancang pendidikan dan pelaksana untuk membentuk pemikiran yang sihat dan berhikmah terhadap proses pendidikan dan menentukan tujuan-tujuan dan fungsi-fungsi pendidikan.

    
1.2       Pengenalan Kurikulum

            Konsep kurikulum adalah banyak berkaitan dengan falsafah epistemologi. Iaitu teori ilmu, ialah salah satu cabang asas falsafah yang merupakan pemikiran tentang teori ilmu berkaitan kajian tentang sumber dan asal usul ilmu manusia, hasilan dan proses perkembangannya berlandaskan falsafah.

            Didalam proses perkembangan epistemology, sejak tamadun zaman purba kala, telah wujudnya mazhab materialisme dan idealisme, iaitu pendekatan-pendekatan dialektik dan metafizik yang bertentangan. Melalui kedua-dua pendekatan ini, maka materialisme dan idealisme berkembang bersama dengan empirisisme dan rasionalisme yang mana idea mereka dianggap lebih mantap dan lebih sistematik.

            Kurikulum di bawah tafsiran spesifik merujuk kepada pelvagai aktiviti pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah. Manakala kurikulum di bawah mengikut tafsiran umum merujuk kepada proses aktiviti yang dialami oleh seseorang undividu dari peringkat kematangan mentah kanak-kanak ke peringkat kematangan orang dewasa.

            Ahli pendidik berpendapat bahawa kurikulum hanya merujuk kepada mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah sahaja. Manakala, aktiviti-aktiviti yang tidak disenaraikandi luar bilk darjah adalah dikenali sebagai aktiviti extra-curricular untuk membezakan dengan kurikulum dalam bilik darjah yang dikenali sebagai semi-kurikulum atau aktiviti kokurikulum. 

            Kurikulum nyata (manifest curriculum) merujuk kepada kurikulum formal atau kurikulum rasmi, manakala kurikulum tersirat (latent curriculum)merupakan kurikulum tak formal yang digunakan untuk memupuk nilai, sikap dan interaksi sosial yang positif melalui peniruan, permodelan, aktiviti kumpulan, aktiviti unit beruniform dan sebagainya. 

            Jika kurikulum dilihat dari perspektif pengalaman kehidupan manusia, isi kurikulum harus merangkumi segala pengalaman kehidupan. William B. Ragan, seorang pakar kurikulum di Amerika Syarikat dalam buku beliau , Modern Elementory kurikulum(1960), menyatakan, kurikulum merangkumi segala pengalaman yang sebenar dalam hidup nyata.

            Kerr J.K (1968) mentaktifkan kurikulum sebagai semua pelajaran yang dirancangkan dan dibimbing oleh sekolah, sama ada dilaksanakan secara individuatau kelompok, baik di dalam mahupun di luar sekolah.

            Hirst (1975) mendefinisikan kurikulum sebagai satu program yang mengandungi aktiviti-aktiviti pembelajaran dan disusun oleh guru untuk membolehkan murid-murid mencapai objektif yang ditentukan.

            Nicholls S.H dan Nicholls A (1978) mentakrifkan kurikulum sebagai semua kesempatan pembelajaran yang dirancangkan oleh guru-guru untuk murid-murid sekolahnya.
            B.O Smith, W.D Stanley dan J.H Shores dalam buku Fundamentals of Curriculum Development (1957) mentakrifkan kurikulum sebagai pengalaman-pengalaman yang dirancangkan dan ditawarkan kepada murid-murid di bawah bimbingan sekolah.

            J.G Saylor dan W. M Alexander dalam buku Planning Curriculum for Schools (1974) mentakrifkan kurikulum sebagai rancangan yang menyediakan semua peluang pembelajaran dengan tujuan memperoleh maklumat dan objektif pendidikan di bawah bimbingan sekolah.
            K. Egan dalam bukunya What is Curriculum? (1978) menghuraikan kurikulum sebagai isi kandungan untuk dipelajari dan diperkembangkan melalui pedagogi pengajaran.

            Tyler (1950) berpendapat sesuatu kurikulum yang lengkap harus mengandungi perkara-perkara berikut, matlamat pendidikan yang harus dicapai oleh negara atau sekolah, isi pelajaran dipilih untuk mencapai objektif yang ditentukan, metodologi digunakan untuk menyusun dan melaksanakan pengalaman-pengalaman pembelajaran supaya mencapai objektifnya, penilaian untuk mengukur keberkesanan pembelajaran.

G. A Beauchamp dalam bukunya Curriculum Theory (1968) berpendapat kurikulum harus mengandungi empat bahagian. Iaitu pernyataan tujuan-tujuan pendidikan berasaskan aspirasi masyarakat yang hendak dicapai melalui sekolah, objektif-objektif dan organisasi isi kandungan untuk setiap mata pelajaran, panduan penggunaan kurikulum untuk guru-guru dan skema penilaian untuk menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian objektif dan matlamatnya.

A. S. Robinson dalam buku Curriculum Building (1971) memberi pengertian kurikulum dengan lebih lengkap dan menyeluruh. Beliau berpendapat bahawa kurikulum harus mengandungi matlamat, objektif , isi kandungan, proses, sumber dan cara penilaian semua pengalaman pembelajaran yang telah dirangcangkan untuk murid-murid di dalam dan di luar sekolah seperti lawatan, latihan amali dan aktiviti kokurikulum.

Walker (1990), setelah mengkaji definisi-definisi kurikulum yang diutarakan, Walker menyenaraikan lima konsep am yang terdapat dalam kurikulum sekolah seperti berikut : pembelajaran yang diinginkan yang mana ia merujuk kepada apa yang hendak dipelajari dan biasanya dijelaskan dengan bentuk matlamat, tujuan dan objektif pelajaran dan mata Pelajaran iaitu jenis mata pelajaran atau kursus biasanya disenarai dan dihuraikan dalam bentuk sukatan pelajaran, pengalaman Pelajar ia merangkumi pengalaman sebenar yang dialami oleh pelajar di bawah arahan, kawalan dan bimbingan pihak sekolah, pencapaian Pembelajaran ia merujuk kepada pembelajaran sebenar yang telah dipelajari, termasuk isi kandungan mata pelajaran, serta kebudayaan, nilai hidup dan sikap positif pelajar.

Terdapat pelbagai model kurikulum yang dicadangkan sejak kurun ke-20, diantaranya ialah Model Kurikulum Tyler, Taba dan Stenhouse. Model Kurikulum Tyler (1950) adalah berasaskan kepada objektif dan proses. Didalam bukunya Basic Principles of Curriculum and Instruction, Tyler memberi definisi kurikulum sebagai pelajaran yang dirancang, dikelola dan dilaksanakan oleh pihak sekolahuntuk mencapai matlamat pendidikan yang ditentukan. Objektif pelajaran hendaklah merangkumi dua aspek yang berkaitan iaitu perkembangan tingkah laku pelajar dan isi kandungan mata pelajaran yang beroperasi dengan tingkah laku pelajar. Maka empat perkara utama yang harus ada dalam kurikulum sekolah iaitu perkara dan aktiviti yang harus dilakukan oleh guru, topik dan konsep untuk setiap pelajaran hendaklah disenaraikan, tingkah laku bersama dengan objektif perkembangannya hendaklah dinyatakan dalam setiap topik pelajaran dan objektif pelajaran hendaklah dinyatakan dalam bentuk objektif eksplisit agar menjadi panduan guru untuk menghasilkan perubahan tingkah laku pelajar.
  
Model Kurikulum Taba (1945) adalah berlandaskan kepada Kurikulum Sekolah Dewey (1896-1904) dan Laporan Jawatankuasa Kajian Kurikulum (1933-1941) di USA. Di bawah Kurikulum Sekolah Dewey, objektif pelajaran ditentukan berdasarkan falsafah pragmatisme yang mengandungi logik penyelesaian masalah melalui aktiviti inkuiri-penemuan. Selepas mengkaji Kurikulum Sekolah Dewey, Jawatankuasa Kajian Kurikulum (1933-1941)USA, menyenaraikan empat komponen utama sebagaigaris panduan untuk melaksanakan sesuatu kurikulum sekolah iaitu mengenalpasti objekti-objektif kurikulum, penentuan kaedah dan strategi untuk mencapai objektif-objektif kurikulum, organisasi kaedah dan strategi dan penilaian untuk pencapaian objektif. 

Model Kurikulum Stenhouse (1975) adalah berlandaskan kepada model proses dan tidak bermula dengan objektif pengajaran dan pembelajaran sebagai komponen utama dalam sesuatu kurikulum. Stenhouse bersetuju dengan Peters (1966) bahawa pemilihan isi kandungan kurikulum harus berdasarkan nilai justfikasi. Mengikut Peters, aktiviti-aktiviti kurikulum seperti Sains, Sejarah dan Kesusasteraan mengandungi isi kandungan kognitif dan boleh membawa banyak sumbangan kepada kehidupan. Manakala, kemahiran manipulatif dan pendidikan jasmani merupakan aktiviti pelajaran dikuasai untuk mengetahui bagaimana ilmu pengetahuannya.

Matlamat kurikulum (curriculum goal) merupakan objektif kurikulum yang hendak dilaksanakan biasanya merangkumi empat kategori yang utama iaitu kategori kognitif yang merangkumi konsep asas ilmu, teori dan hukum serta kemahiran memahami dan berfikir, kategori kemahiran yang merangkumi tingkah laku, amalan, kemahiran sukan dan interaksi sosial, kategori afektif yang merangkumi pemikiran, sikap dan kepercayaan seperti nilai estetik dan nilai moral dan kategori aplikasi yang merangkumi kebolehan penggunaan ketiga-tiga kategori yang dinyatakan membolehkan pelajar untuk menyelesaikan masalah sosial dan kehidupan harian.
 
Setakat ini, pelbagai jenis kurikulum telah dibentuk oleh sarjana pendidikan dan pakar kurikulum dari semasa ke semasa mengikut teori epistemologi dan matlamat pendidikan Negara yang sering berubah kerana cabaran dan persaingan. Antara jenis-jenis kurikulum adalah kurikulum ideal(ideal curriculum) ialah sesuatu kurikulum digubal dan dibentuk berlandaskan pedagogi, psikologi dan teori kurikulum, kurikulum rasmi (official curriculum) dikenali sebagai kurikulum formal atau kurikulum piawai yang penggubalan kurikulum ini biasanya dipimpin oleh sarjana pendidikan atau pakar kurikulum di Kementerian Pendidikan, kurikulum formal (Formal Curriculum), kurikulum operasi (operational curriculum), ko-kurikulum (co-curriculum), kurikulum teras (core curriculum), kurikulum integrasi(integrated curriculum), kurikulum aktiviti (activity curriculum), kurikulum lingkaran (spiral curriculum) dan kurikulum tersirat(Hidden /Latent Curriculum) sebagai kurikulum tersirat meliputi segala pengalaman yang dipelajari secara tidak formal seperti penerapan nilai-nilai murni, peraturan sekolah, aktiviti bahasa dan budaya sekolah.

Di antara sepuluh jenis kurikulum tersebut, kurikulum rasmi atau formal dan kurikulum tersirat merupakan dua komponen utama dalam pembentukan sesuatu kurikulum yang ideal. Kurikulum rasmi merangkumi komponen kurikulum akademik yang berlandaskan falsafah epistemologi, menitikberatkan pemerolehan ilmu dan penguasaan kemahiran daripada pelbagai mata pelajaran, serta komponen kokurikulum yang menfokuskan pemupukan dan perkembangan minat, bakat dan kegemaran pelajar. Manakala kurikulum tersirat merupakan pembelajaran afektif secara tidak langsung iaitu pembelajaran budaya, norma, nilai dan sikap positif melalui pengaruh budaya sekolah. Dengan pelaksanaan bersama-sama kurikulum formal dan kurikulum tersirat potensi pelajar dari segi intelek, jasmani, social dan rohani dapat diperkembangkan secara keseluruhan.


2.0             Cabaran Era Informasi Dan Sumber Manusia Global
Perkembangan ilmu pengetahuan dalam dunia masa kini bukan sahaja pesat tetapi juga telah sampai tahap meledak. Tambahan pula, sumber-sumber ilmu bukan sahaja dapat diperolehi dalam institusi pendidikan sahaja, tetapi juga daripada pelbagai media seperti surat khabar, radio, televisyen, video, computer dan sebagainya. Abad ke-21 merupakan era globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan. Dunia menjadi semakin kecil kerana manusia begitu mudah bergerak dan berinteraksi dari satu negara ke negara lain di seluruh dunia hasil perkembangan sains dan teknologi automobile yang begitu meluas dan mencabar. Dunia menjadi semakin mudah berhubung, berkomunikasi dan bertukar maklumat dengan menggunakan teknologi maklumat. Terutamanya penghasilan internet telah mengubah corak kehidupan manusia sejagat dari pelbagai aspek bermula dengan corak hubungan kekeluargaan, corak bersosial semasa manusia, corak pendidikan, penghiburan, corak berurusan kewangan dan pembelian, kepada corak politik dan banyak lain. Perubahan-perubahan yang mengejut dan pantas ini mendatangkan impak dan kesan  kepada masyarakat global. Masyarakat kini menjadi lebih kompleks dan mengalami kehidupan yang lebih mencabar berbanding dengan masyarakat terdahulu. Menurut Ohmae (1995), perkembangan dalam teknologi maklumat dan arus globalisasi telah menyebabkan berlakunya kecairan sempadan nasional yang telah melahirkan paradigm baru kepada semua organisasi, termasuk institusi pendidikan.

Cabaran pertama akibat perkembangan pesat di dalam bidang informasi adalah kemahiran mengurus dan mengekses maklumat yang mengalami lambakan maklumat. Perkembangan internet membentuk satu rangkaian maklumat yang luas di antara negara-negara di dunia ini di mana semua informasi dan maklumat dapat dilontarkan ke dalam rangkaian ini dan sesiapa sahaja dapat mengekseskan maklumat ini apabila menggunakan rangkaian tersebut menjadikan internet satu medium yang sangat penting. Sebagai contoh, pada tahun 2013, masyarakat dunia digemparkan oleh insiden perisikan dan pengintipan CIA Amerika Syarikat melalui telefon dan internet terhadap beberapa negara Eropah dan Arab, negara China, Korea Selatan, Indonesia dan termasuk negara Malaysia. Di dalam perisikan dan pengintipan tersebut, Amerika Syarikat menggunakan teknologi informasinya untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang sulit sesebuah negara bagi kepentingan negaranya. Dengan ini dapat dilihat betapa pentingnya, kemahiran mengurus dan mengekses maklumat pada masa kini. Di dalam pendidikan, rangkaian maklumat memainkan peranan yang penting kerana kemajuan sesebuah negara berkait rapat dengan ilmu pengetahuan dan maklumat yang dimiliki oleh rakyat negara tersebut. Maka itu, sesiapa yang dapat menguasai internet, orang itulah yang menguasai ilmu pengetahuan dan informasi, seterusnya orang itulah yang akan menjadi ‘pembawa’ dunia ini kerana internet banyak mempengaruhi kehidupan harian. Kurikulum kebangsaan yang terdapat di dalam pendidikan masa kini, seharusnya mempunyai subjek mengenai teknologi informasi, ini agar sumber manusia yang dilahirkan bukan sahaja dapat menggunakan teknologi informasi ini dengan lebih berkesan dan berkualiti tetapi dapat mencipta dan menghasilkan teknologi berkaitan dengan informasi yang mendatangkan kesejahteraan dan kemajuan di negara ini.

            Cabaran kedua akibat perkembangan informasi adalah pemantapan nilai jati diri seiringan dengan perkembangan sains dan teknologi. Dengan menggunakan internet banyak maklumat yang dihendaki dapat diperolehi dengan mudah. Maklumat dari internet terdiri daripada maklumat yang bercirikan budaya negara barat, kurang bernilai keagamaan, kerohanian, budaya pergaulan bebas, budaya menikmati kehidupan dan kebendaan yang keterlaluan dan sifat mementingkan diri sendiri, kurang bertanggungjawab dan banyak lagi telah mencemari pemikiran generasi muda negara ini. Menurut Habab Mat Som di dalam journal bertajuk ‘Globalisasi dan Cabaran Pendidikan di Malaysia’ ada menyebut, ‘kesan yang paling ketara akibat pengaruh globalisasi adalah perubahan gaya hidup terutama dalam kalangan anak-anak remaja di bangku sekolah yang begitu terpengaruh dengan amalan negatif kehidupan Barat’. Anak-anak muda kini mudah dipengaruhi budaya ganas melalui pemainan ‘on-line game’, video pendek, budaya tak bermoral dari laman-laman lucah dan pergaulan bebas melalui facebook dan hiburan-hiburan daripada internet yang menyebabkan anak-anak muda leka dalam pembelajaran mereka. Maka, menjadi tanggungjawab pihak kerajaan dan masyarakat mendidik anak-anak muda generasi masa depan ini cara meningkatkan nilai jati diri dan nilai yang berpatutan sebagai masyarakat negara asia tenggara. Oleh itu, kurikulum di dalam pendidikan negara ini seharusnya mementingkan nilai keagamaan dan nilai kesederhanaan.

            Cabaran seterusnya adalah keupayaan kurikulum melahirkan sumber manusia global. Sumber manusia global bercirikan golongan manusia yang berkemahiran tinggi di dalam sesuatu bidang dan mendapat sambutan tinggi di pasaran global serta berdaya saing  di dalam bidang yang diceburi. Golongan ini adalah mereka yang terdiri daripada pakar-pakar doktor, ahli saintis, jurutera mega-struktur dan banyak lagi. Kehebatan golongan-golongan ini dapat digunakan untuk memajukan sesebuah negara. Sebagai contoh, semasa berlakunya Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat sanggup menggunakan pelbagai cara seperti memberikan kemudahan kewangan, jaminan keselamatan dan kerakyatan kepada ahli saintis dari negara seperti Rusia dan German untuk mendapatkan sumber manusia global ini supaya membantu pembangunan negara Amerika Syarikat. Dengan ini, keperluan golongan berkemahiran tinggi ini di dalam pembangunan negara tidak dapat dinafikan dan kewujudan golongan ini adalah hasil sistem pendidikan yang berkesan. Maka, kurikulum negara ini seharusnya ke arah penghasilan sumber manusia berkemahiran tinggi.

            Cabaran keempat di dalam perkembangan era informasi dan sumber manusia global di dalam sistem pendidikan adalah kepentingan kestabilan ekonomi dan politik. Ekonomi merupakan bahagian yang penting kerana kepesatannya di sesebuah negara dapat menarik pelabur-pelabur asing dan meningkatkan pendapatan negara. Apabila negara mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, pembangunan sistem pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan. Selain itu, kestabilan politik juga penting kerana keadaan yang huru hala seperti sesetengah negara asia tengah menyebabkan ekonomi terjelas, dan rakyatnya mati akibat peperangan. Oleh itu, kurikulum kebangsaan harus menerapkan semangat cinta kepada negara, cinta kepada kedamaian dan nilai-nilai hidup di dalam masyarakat majmuk negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum. Semangat dan nilai ini penting di dalam kurikulum kerana ia menjamin kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat negara ini.

            Guru sebagai pendidik yang berilmu pengetahuan, disamping itu telah dilatih untuk menguasai kemahiran mengajar dan diberi tugas menyampaikan ilmu merupakan peranan utama sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab. Guru pada masa kini juga harus menyedari tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa nanti selaras dengan perubahan zaman dan sistem pendidikan.

            Dalam era moden ini, kebudayaan masyarakat sentiasa mengalami perubahan. Oleh itu, pendidikan di sekolah tidak memadai lagi dengan penyampaian pengetahuan dan cara hidup tradisi sahaja tetapi juga menyediakan ahli-ahli masyarakat untuk menghadapi dan menerima pembaharuan.
           

No comments:

Post a Comment